Friday, March 26, 2010

‘Satu rumah satu perpustakaan’



oleh Mohd. Iswan Shafiq Mat Isa
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 22 Feb. – Konsep ‘satu rumah satu perpustakaan’ perlu diwujudkan semula bagi memupuk minat dan budaya membaca di kalangan rakyat negara ini.

Pensyarah Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Megat al-Imran Yassin berkata, rumah merupakan institusi terawal dan terpenting bagi seseorang individu mengenali buku sebelum melangkah ke sekolah, perpustakaan atau tempat lain selepas itu.

Sehubungan itu katanya, ibu bapa memainkan peranan penting bagi memastikan konsep ‘satu rumah satu perpustakaan’ benar-benar berkesan.

“Kalau ibu bapa boleh membelikan barangan yang mahal setiap tahun pada majlis hari lahir anak mereka, mengapa tidak mampu untuk membeli buku sebagai hadiah.

“Buku boleh dijadikan koleksi dan seterusnya mewujudkan perpustakaan mini di rumah masing-masing,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Akhbar Utusan Malaysia dalam laporan khasnya hari ini menyiarkan mengenai sikap rakyat Malaysia yang tidak suka membaca buku.

Pemantauan di beberapa lokasi tumpuan umum di Lembah Klang baru-baru ini mendapati, membaca tidak menjadi satu budaya di kalangan masyarakat negara ini.

Malah paling menyedihkan, Perpustakaan Negara Malaysia, perpustakaan negeri, daerah dan desa juga lengang. Hanya 10 hingga 30 orang mengunjungi gedung-gedung ilmu itu dalam sehari.

Justeru, tidak hairanlah sekiranya profil kajian membaca di Malaysia tidak bergerak, cuma purata dua naskhah buku dibaca setiap rakyat pada setiap tahun.

Sementara itu, Ketua Program Persuratan Melayu, Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Mawar Shafei berkata, kecenderungan untuk membaca di kalangan rakyat negara ini sebenarnya masih ada.

Bagaimanapun katanya, ia wujud melalui medium yang berbeza.

“Melayari Internet juga boleh dikategorikan sebagai membaca sekiranya orang ramai memanfaatkan sepenuhnya penggunaan Internet,” jelasnya.

Tambah Mawar, pihak pengurusan perpustakaan perlu mengambil inisiatif dengan mempelbagaikan aktiviti mereka seperti mengadakan jualan buku terpakai dan mengadakan aktiviti berkala seperti sesi bersama penulis yang berbeza setiap bulan.

“Mewujudkan kafeteria dalam perpustakaan juga satu langkah yang baik untuk menarik minat orang mengunjungi perpustakaan,” katanya.

Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu berkata, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar, amalan membaca dapat menajam dan membentuk ‘kuasa pemikiran’ di kalangan para pembacanya.

“Sehubungan itu, saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar menanam minat membaca dan menjadikan amalan membaca sebagai satu budaya,” katanya.

Thursday, January 7, 2010

NUJ bimbang media cetak bakal 'berkubur'

Jan 7, 10 2:59pm

Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) menggesa pemilik media cetak supaya menilai semula operasi mereka ekoran kemerosotan edaran dan kehilangan pembaca yang beralih kepada media alternatif.

Dalam satu kenyataan hari ini, Majlis Eksekutif NUJ berkata, pemilih media cetak mesti mengambil kira realiti semasa bagi menyekat kemerosotan tersebut.

"Akhbar sedang berdepan dengan cabaran-cabaran dari portal berita dan blog yang menyediakan kepada orang ramai berita dan pandangan yang sama ada tidak disiarkan atau tidak diberi keutamaan di media cetak," katanya.

Oleh itu, tambahnya, persoalannya ialah sama ada pihak akhbar semakin kehilangan relevannya dalam membentuk pendapat awam mengenai isu-isu yang memberi kesan kepada negara dan rakyat.

Menurut NUJ lagi, penerbit media juga digesa supaya tidak keterlaluan memainkan isu-kau perkauman dalam penerbitan mereka.

"Malah, industri persuratkhabaran sedang berdepan dengan krisis kredibiliti, ekoran wujudnya kecenderungan untuk membandingkan berita-berita yang dimuat dalam akhbar, dengan yang disiarkan oleh media alternatif," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, orang sudah berhenti membaca surat akhbar kerana mereka rasa ia tidak lagi menawarkan nilai bagi wang yang dibelanjakan untuk membelinya - satu kecendurungan yang ketara, terutama selepas pilihan raya umum 2008.

Oleh itu, katanya, pemilik media mesti memberi perhatian terhadap persekitaran semasa dan membuat penilaian semula secara jujur untuk menyekatkan kemerosotan tersebut yang memberi kesan kepada kehidupan wartawan, editor, jurugambar dan kakitangan sokongan yang lain.

Menurut NUJ, ketika parti-parti politik sedang mengusahakan perubahan dan mengambil langkah-langkah untuk memenuhi tuntutan pengundi, industri media pula masih terperangkap dalam kepompong masa.

"Pemilik media mesti menyedari bahawa pembaca merupakan pengguna yang mempunyai pilihan dan altenatif untuk mendapatkan maklumat.

"Jika keadaan semasa ini dibiarkan berterusan, maka akan tiba masanya apabila akhbar akan kehilangan peranannya sebagai penyedia maklum balas kepada kerajaan.

"Kita bimbang, pengiklan juga akan meninggalkan surat khabar dan beralih kepada bentuk media alternatif untuk memaksimumkan perolehan mereka.

"Anggota NUJ juga akan terjejas apabila pemilik media tidak lagi mampu untuk menyediakan gaji yang sewajarnya dan suasana kerja yang lebih baik kepada kakitangan mereka," katanya

Monday, December 21, 2009

Utusan Malaysia Online - Terkini

Utusan Malaysia Online - Terkini

Dasar industri kreatif negara siap digubal pertengahan 2010

21/12/2009 8:19pm

KUALA LUMPUR 21 Dis. — Dasar yang kompetitif dan komprehensif mengenai industri kreatif negara dijangka siap digubal pertengahan tahun depan, kata Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang.
Beliau berkata dasar itu merangkumi komponen kandungan seperti industri filem, drama dan animasi serta komponen seni budaya dan warisan iaitu seni kraf, seni visual dan seni persembahan.
"Kementerian ini akan memastikan penglibatan bersama pelbagai pihak seperti industri kreatif sendiri, badan-badan bukan kerajaan dan kementerian atau jabatan lain dalam usaha memastikan impak maksimum dasar ini sekaligus dapat memberi faedah kepada seluruh rakyat,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 di Dewan Negara di sini hari ini. - Bernama

Thursday, December 3, 2009

Rais Yatim- 30% RTM siar dasar kerajaan

30 peratus program RTM siar dasar kerajaan KUALA LUMPUR - Radio Televisyen Malaysia (RTM) memperuntukkan 30 peratus masa siaran bagi menyalurkan maklumat dan dasar-dasar kerajaan manakala 70 peratus lagi dimuatkan dengan rancangan hiburan berinformasi dan rancangan berkonsepkan pembentukan negara bangsa. Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata ia selaras dengan penubuhan RTM sebagai media rasmi kerajaan yang bukan sahaja berfungsi sebagai badan penyiar berita bahkan merangkumi tugasan membina negara bangsa. “RTM sentiasa membaiki mutu siarannya. Apa juga perancangan dan aktiviti penyiaran, adalah mengambil kira cita rasa khalayak yang membuktikan bahawa rakyat didahulukan. RTM memperuntukkan 30 peratus masa siaran bagi menyalurkan maklumat dan dasar-dasar kerajaan manakala 70 peratus dimuatkan dengan rancangan hiburan berinformasi dan rancangan berkonsepkan pembentukan negara bangsa,” katanya. Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Ab Aziz Ab Kadir (PKR-Ketereh) yang ingin tahu sama ada kementerian itu mempunyai cadangan untuk menjadikan RTM sebagai wadah melahirkan satu bentuk pola pemikiran, nilai dan budaya baru yang menggambarkan amalan Pencapaian Didahulukan, Rakyat Diutamakan. - Bernama:

Wednesday, November 11, 2009

Jangan Berperangai Seperti beruk


Tertarik dengan ulasan Datuk Ibrahim Yahya http://duniatiger.blogspot.com/ berkenaan kemarahan beliau atas perilaku beruk yang melastik jurukamera RTM. Memang sepatutnya Datuk Tiger marah sebab yang kena lastik ialah anak buahnya. Yang sepatutnya dilastik ialah beruk yang melastik jurukamera RTM itu.. Ini sudah terbalik


Sila baca...

Tuesday, November 10, 2009

JANGAN BERPERANGAI MACAM BERUK
ANGKASAPURI : Saya berdoa agar polis segera menangkap orang gila ini. Mengapa saya kata gila kerana mereka 'melastik' orang yang tidak berdosa. Tindakan gila ini menyebabkan salah seorang daripada jurukamera saya cedera dilastik dengan guli-guli. Kepala beliau berdarah dan kini mengambil cuti beberapa hari. Berdoa agar beliau segera sembuh.Mengapa jurukamera yang bertugas untuk menyiarkan siaran langsung bolasepak 'dilastik'? Apakah dosa mereka? Oleh itu, saya tidak terkilan dengan kekalahan Kelantan. Mungkin tuhan sudah bosan dengan perangai penyokong Kelantan 'melastik' orang tidak berdosa yang menyebabkan pasukan itu kalah. KUALA LUMPUR 9 Nov. - Polis akan memburu penyokong-penyokong bola sepak Kelantan yang dipercayai bertindak agresif serta menjadi dalang menimbulkan huru-hara ketika perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.Mereka yang terlibat dalam insiden memalukan itu sedang dikenal pasti melalui rakaman video dan gambar yang diambil sepanjang perlawanan tersebut.Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman menegaskan, mereka yang dikesan akan diambil tindakan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api atau bahan letupan dengan niat hendak menyebabkan kerosakan.Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya akan berkerjasama dengan Polis Kontinjen Kelantan bagi mengesan serta mengecam mereka yang terlibat.''Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam hal ini. Kita tegas dalam mengambil tindakan ke atas mereka,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.Selain membaling mercun dan botol, perlawanan akhir Piala Malaysia edisi ke-83 itu turut dicemari dengan insiden membakar tempat duduk stadium dan kain rentang. Malah, seorang krew kamera RTM turut cedera terkena batu yang dibaling oleh penyokong.Muhammad Sabtu berkata, polis juga akan mengadakan perjumpaan dengan pihak stadium dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam masa terdekat ini.Ia bertujuan membincangkan kelemahan serta 'kebocoran' yang wujud di bangunan stadium pada malam itu sehingga ada antara penonton menyeludup masuk mercun serta botol air melalui pagar di sekeliling stadium, katanya.Orang nombor satu kontinjen Kuala Lumpur itu menyifatkan tindakan melampau penyokong Kelantan yang 'beraksi' di luar kawalan seolah-olah mencabar polis.''Sebelum ini pun, kita telah mengeluarkan arahan supaya penyokong tidak bertindak di luar kawalan, tapi mereka degil. Jadi, kita terpaksa bertindak,'' tegasnya.
at
21:04

Monday, November 9, 2009

Negara memerlukan Dasar Industri Kreatif Yang Mantap & Komprehensif

Negara memerlukan satu dasar Industri Kreatif yang mantap dan komprehensif bagi membolehkan industri kreatif dan media dapat berkembang dengan baik agar ia dapat menyumbang terhadap pembangunan negara. Di Malaysia terdapat beberapa agensi kerajaan yang bertanggungjawab terhadap industri kreatif ini antara agensi di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan seperti SKMM Finas, RTM, Filem Negara dsbnya. Jika sebelum percantuman Kementerian Penerangan dan juga Kementerian Tenaga Air & Komunikasi terdapat bebarapa masalah dari segi regulasi media, namun keadaan ini diharap dapat diselesaikan dengan tercantum Kementerian Penerangan & KTAK.

Namun ketika ini masih lagi wujud keadaan di mana wujud pertindihan fungsi siapa yang patut mendepani isu media kreatif di Malaysia. Mdec sebuah agensi di bawah Mosti juga terbabit secara langsung dalam industri media kreatif ini kerana elemen teknologi multi media adalah sebahagian daripada fungsi Mdec.

Baru-baru ini penulis dijemput menyertai satu Seminar Industri Multimedia Kreatif anjuran Mdec dalam mencari satu formula membentuk dasar dasar industri media kreatif ini. Usaha ini sangat dialu-alukan. Kementerian penerangan juga tahun lepas telah mengadakan satu Konferense Industri Kreatif di Hotel Nikko membincangkan masa depan industri media kreatif negara.

Penulis sempat berdiskusi dengan penganjur Seminar Industri Multi media Kreatif Mdec alangkah baik semuanya pihak yang terbabit secara langsung dalam industri ini dapat bersama memikirkan bagaimana untuk membentuk satu polisi yang mantap dan diterima oleh semua merentasi batasan kementerian yang berbeza. Jika setiap pihak membentuk polisi sendiri maka akan menyebabkan berlaku kekeliruan dan cacamerba. Hakikat ini diakui oleh Timbalan Presiden Mdec En Kamil Othman dan amat bersetuju sekiranya semua pihak yang terbabit dalam industri media kreatif duduk semeja memikirkan masa depan dan hala tuju media kreatif di Malaysia.

Hakikatnya industri media kreatif kita masih lagi belum tersusun dengan baik. Ia memerlukan satu polisi yang diterima semua dan menjadi panduan bagi memacu industri ini menjadi industri yang berdaya saing dan memberi manfaat kepada negara.

Pokoknya bagi menjayakan dasar ini ianya memerlukan kerjasama semua pihak yang terlibat dalam indusri ini termasuklah agensi agesi kerajaan dan juga persatuan-persatuan penerbitan . Maka marilah kita bersama-sama duduk semeja demi pembangunan industri media kreatif milik kita bersama.